Hukum Bercium Tanpa Ikatan Yang Sah
gambar hiasan, google image |
ZAMAN sekarang, kerap kali kita melihat pasangan bercinta ini bercium tanpa rasa segan silu.
Tetapi apakah sebenarnya hukum seorang lelaki dan perempuan yang bukan
muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan
zina? Dan adakah ini berdosa besar?
Sebenarnya, perbuatan tersebut
sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan
kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu;
1. Ia menghampiri zina. Firman
Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah
al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah
menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat
dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu
Kathir).
2. Berdua-dua antara lelaki dan
wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan)
seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang
ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
3. Menyentuh bukan mahram. Sabda
Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi,
itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak
halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata
al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata
al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis
no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana
dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
4. Membuka aurat kepada bukan
mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka
(perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak
lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah
bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri
kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud,
Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini
hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
5. Tidak menjaga pandangan mata.
Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang
yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada
perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah
an-Nur, ayat 30-31).
6. Melepaskan nafsu seks
mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di
antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka,
kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka
sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini
selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang
melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7).
Perhatikan Allah menegaskan
“sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan
untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka
adalah orang yang melampau batas.
Dengan ayat ini Imam as-Syafiie
menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan
onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau
hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara
sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan
yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.
Orang yang melakukan perbuatan
sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat
sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat
nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;
1. Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
2. Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
3. Bertekad tidak akan mengulangi lagi.
Sebagai bukti kejujuran
taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada
suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar
batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh,
mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah
dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan
sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di
dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang manusia itu berada di atas
agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan
siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah.
Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis
no. 4516)
Wallahu a’lam.
0 Response to "Hukum Bercium Tanpa Ikatan Yang Sah "
Catat Ulasan