Hukum Menikahi Wanita Yang Hamil
Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah). Benarkah jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahulu hukumnya tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang di kandung sudah lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).
Apakah
status anak itu kerana setahu saya anak tersebut tidak boleh dibinkan
menurut nama si ayah dan jika anak itu perempuan maka si ayah tidak
boleh menjadi wali.
Jawapan:
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami,
hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil
hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang
fikah adalah fatwa mazhab Maliki.
Namun
tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40
hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.
Mazhab
ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita
yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci terlebih
dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali datang bulan
(haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir dia
melakukan zina (al-istibra').
Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra'
demi menjaga kesucian susur galur keturunan kerana ia akan melibatkan
status anak sah taraf atau tidak untuk dibinkan kepada suami yang
dikahwini setelah zina berlaku, kemudian masalah wali kahwin bagi anak
perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam Islam.
Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid
atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi
pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau
tidak.
Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya
ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu
bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya
pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari
benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang
menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz 'anak orang lain').
Termasuk
satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan
perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan
kepada para pejuang yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita
hamil itu sehingga bersalin".
Syarat
ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki yang
telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad
bin Hanbal yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki
menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya".
Syarat
tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha
terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya
daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina: Lelaki yang berzina
tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau
perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin
melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan
perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang
beriman. (al-Nur: 3)
Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.
Hal
ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar
bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang
suci daripada segala dosa".
Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.
Sementara
mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang
mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika
dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.
Jika
wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh
menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari
surah al-Nisaa' yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram
dinikahi:
Telah
diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang
berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu,
ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan
daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan
adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak
tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu
nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka
sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya).
Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak
lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan
diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik
sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada
masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Dan
(diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih
berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya
haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas
kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada
yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan
memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah,
bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).
Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak
yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang
sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani
penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.
Mazhab
ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan
persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan
dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah
sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu
menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)". (riwayat Abu Daud).
Mazhab
Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang
menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.
Perbuatan
haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan
pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh
jumhur ulama.
Nasab Bayi
Menurut
fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan
berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.
Jika
kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali
dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas
ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah
seorang Muslim.
Tempoh
minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana
pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang
melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.
Dia
telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan
menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali
lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.
Kata-kata
beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus
menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.
Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan
ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua
tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30 bulan….
Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).
Jadi,
kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian,
mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.
Hanya
status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan
suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak
boleh berwalikannya.
Menurut
fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun
2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:
- Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
- Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan
- Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an.
0 Response to "Hukum Menikahi Wanita Yang Hamil "
Catat Ulasan