10 Janji Allah Untuk Mereka Yang Ingin Berkahwin
Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.
Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…
1. “Wanita-wanita yang keji
adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat
wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk
lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang
baik (pula)”. (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik,
maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah
Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga
Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang
yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari
hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah
akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas
(Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa
bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana
belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap
ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya.
Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan
gaji sekian?”.
Ayat tersebut merupakan jawapan buat
mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan
ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini
adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari
nafkah memenuhi keperluan keluarga.
Allah akan menolong mereka yang menikah.
Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan
kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan
memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di
masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa
ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan
mencukupkan keperluannya?
3. “Ada tiga golongan manusia
yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah,
seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang
menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251,
Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan
niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari
Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadits ini. Dan pertolongan
Allah itu pasti datang.
4. “Dan diantara tanda-tanda
kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri,
supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya
diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum :
21)
5. “Dan Tuhanmu berfirman :
‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya
orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka
Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Al Mu’min : 60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah
nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa
memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan
sebagainya.
Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab
terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh,
merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain –
lain.
Perhatikan juga waktu-waktu yang
mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga
malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia,
dan pada waktu antara azan dan iqamah, Perhatikan juga penghalang terkabulnya
doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan
berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan
Allah,
Manfaat lain dari berdoa bererti kita
meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta,
mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha
Mendengar.
Sebahagian orangapabila jodohnya tidak
kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya
lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan
hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barang siapa yang mendatangi peramal /
dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima
solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37)
dan Ahmad).
Telah bersabda Rasulullah shallallahu
‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.”
(Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya
jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.”
(Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad
dan Hakim).
6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)
Mintalah tolong kepada Allah dengan
sabar dan solat. Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus
bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.
7. “Kerana sesungguhnya sesudah
kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada
kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 6)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa
bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa
sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah
bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang
menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.
8. “Hai orang-orang yang beriman
jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan
meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)
Agar Allah menolong kita, maka kita
tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu
penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam,
membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga
Allah menolong kita.
9. “Sesungguhnya Allah pasti
menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar
Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al Hajj : 40)
10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan
menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita,
tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita
harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada
setiap muslim.
Jadi, kenapa ragu – ragu dengan janji Allah? – ( akuislam.com )
0 Response to "10 Janji Allah Untuk Mereka Yang Ingin Berkahwin "
Catat Ulasan